Tuesday, November 29, 2011

Alternatif kepada pakaian seragam sekolah pelajar perempuan

Aku suka bila melihat uniform jururawat kita yang berseluar. Nampak mereka tu mudah dan selesa nak bergerak ke sana dan ke mari. Nak melangkah, nak berjalan, nak berlari, nak panjat tangga, nak turun tangga... mudah dilakukan.

Aku bertanya kepada diri aku sendiri, apa kata uniform seperti jururawat itu dibenarkan kepada pelajar sekolah? Ertinya pelajar perempuan diberi alternatif untuk memakai kain atau seluar. Fesyen seluar, warna seluar, jenis fabrik, terpulang pada pihak Kementerian Pelajaran putuskan. Yang penting, pelajar perempuan ada alternatif. Untuk baju pula, tetap sama seperti pada hari ini, baju kurung warna putih. Mungkin ada yang setuju, mungkin ada yang tak setuju dengan pandangan aku ni. Tapi aku merasakan pelajar perempuan wajar diberi alternatif selain dapat menambahkan lagi koleksi uniform sekolah di negara kita.

Tangki air kedua - air tadahan hujan

Peringatan telah dikeluarkan Selangor berkemungkinan menghadapi masalah kekurangan bekalan air. Persediaan mesti dibuat mulai sekarang, jika tidak mungkin buruk akibatnya.
Sebagai pengguna, kita sering diingatkan supaya berjimat cermat dalam penggunaan air. Ada yang ikut, ada yang buat tak tau aja. Itulah tabiat manusia.


Kalau di kampung, mungkin kita boleh gali perigi, seperti zaman sebelum ada "air dalam besi". Tapi kalau di taman-taman perumahan, tak kan nak gali perigi di halaman rumah? Melenting pihak berkuasa tempatan nanti. Lagipun halamn di taman perumahan bukannya tanah asal, atas permukaan memang cantik, penuh dengan rumput "carpet", tapi kat bawah tu... tanah liat, batu-batu, pasir, simen, kaca... macam-macam ada.
Aku rasa kita mesti mula tadah air hujan yang memang banyak turun di negara kita ni. Jangan biarkan air hujan mengalir begitu sahaja ke longkang-longkang. Memandangkan air hujan adalah air yang belum dirawat, kita boleh saja gunakan untuk siram pokok hiasan, basuh kereta, basuh lantai rumah dan sebagainya. Air paip yang dah dirawat tu digunakan untuk tujuan memasak. 
Kita boleh mulakan dengan menadah air hujan menggunakan tong-tong (dram). Bagi yang lebih adventureous, boleh bina tangki seperti tangki air sedia ada. Sambung paip ke tangki air hujan tersebut, dan anda mendapat kemudahan air kedua.
Mungkin juga pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh menggalakkan pihak pemaju-pemaju perumahan memasukkan tangki tadahan air hujan ke dalam pelan rumah. Kalau diwajibkan, lagi bagus, jadi pembeli rumah dah tak perlu pasang tangki air hujan. 
Dengan adanya tangki air hujan sebagai tangki kedua yang juga boleh bertindak sebagai tangki sokongan, kita secara langsung atau tidak langsung akan mengurangkan penggunaan air yang dirawat. Sudah tentu bebanan ditanggung oleh pembekal air negeri akan kurang. Bil air pun harap-harap akan kurang juga...   

Sunday, November 27, 2011

Harga susu mahal, rakyat pun kurang sihat

"Kenapa lah agaknya harga susu mahal?" Itulah keluhan aku setiap kali apabila membeli susu tepung. Nak beli "fresh milk" memang tak mampu, mana taknya, 1 liter dah mencapai RM5.00, dapat lah beberapa gelas. Kalau susu tepung, dalam RM13.00 dah dapat 550gsm, bila bancuh dengan air panas dapat juga beberapa liter. 
Mungkin kerana harga sebegitu menjadi punca rakyat Malaysia kurang menjadikan susu segar sebagai minuman kegemaran, sebagai minuman harian seperti minum air kosong. Sebaliknya minuman berkarbonat menjadi kegemaran yang memang semua orang tahu tak beberapa elok untuk kesihatan. Sedangkan semua orang tahu, Kementerian Kesihatan pun tahu betapa pentingnya susu sebagai sumber kalsium, ke arah pembentukan tulang yang sihat, juga sebagai sumber kesihatan secara keseluruhan.
Mungkin juga kerana harga sebegitu menjadi punca ramai orang tua di negara kita menghadapi masalah tulang rapuh, jatuh sikit tulang pun patah.
Tak boleh kah harga susu turun? Tak boleh kah susu menjadi minuman yang kosnya rendah? Tak boleh kah susu menjadi minuman seperti kita minum air suam?
Aku rasa cemburu bila teringat mat-mat salleh di Australia masa aku menuntut di sana (25 tahun yang lalu) teguk fresh milk dari kotak 1 liter macam teguk air kosong aja. Patutlah badan dia orang tu tegap-tegap. Aku pun memang mewah minum susu segar waktu tu. Mungkin juga itu satu sebab kenapa aku masih fit untuk bersukan sampai hari ini, boleh pergi berjogging lagi, boleh turun badminton 2 kali seminggu.
Bila agaknya harga nak turun?

Lampu isyarat tidak seragam?

Sebagai pemandu, mungkin anda terperasan ada sekurang-kurangnya dua jenis sistem lampu isyarat di negara kita. Sistem yang pertama adalah di mana lampu hijau akan bertukar ke kuning dan kemudian bertukar ke merah. Sistem ini amat biasa kita tempuhi. Tetapi sistem yang kedua berbeza. Lampu isyarat tetap bertukar dari hijau ke kuning dan kemudian ke merah. Tetapi sebelum bertukar dari hijau ke kuning, lampu isyarat hijau akan berkelip-kelip selama beberapa saat sebelum bertukar ke kuning. Inilah yang membezakan sistem pertama dan kedua. Inilah yang meyebabkan saya menulis.
Pada pandangan saya, sistem yang kedua hanya menimbulkan satu perasaan "anxiety", resah dan meningkatkan tahap  "andrenalin" dalam tubuh saya.  Degup jantung saya akan bergerak lebih kencang sebaik ternampak lampu hijau berkelip-kelip.Wujud tekanan perasaan untuk menekan minyak supaya segera melepasi lampu isyarat tersebut. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku (unnecessary). Adalah penting melintasi lampu isyarat dalam keadaan tenang dan waras bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku. Sistem lampu isyarat sepatutnya membantu pemandu di sini.
Mengapa wujud dua sistem lampu isyarat? Perlukah? Mengapa tidak kekalkan penggunaan sistem pertama sahaja di seluruh negara? Biarlah pemandu kekal biasa dengan satu sistem sahaja.
Jika ingin diwujudkan juga sistem kedua, pada pandangan saya, lampu isyarat kuning yang seharusnya berkelip-kelip beberapa saat sebelum bertukar ke lampu merah. Biarlah pemandu diberi masa dan peluang sepenuhnya sepanjang lampu hijau untuk melepasi persimpangan lampu isyarat tersebut. Sebaik sahaja lampu kuning berkelip-kelip, bererti pemandu telah diberi amaran awal bahawa lampu isyarat akan bertukar ke merah dan mesti bersedia untuk berhenti. Berbeza dengan lampu hijau yang berkelip-kelip sebelum bertukar ke kuning, pemandu mungkin akan lebih kuat menekan minyak kerana tidak mahu berhenti!

Friday, November 25, 2011

Jalanraya di Kuala Lumpur.... Kuala Lubang?

Selalu aku lihat kerajaan / pihak swasta berbelanja berjuta-juta membinaa jalanraya, lebuhraya, fflyover baru. Tapi sayangnya tak lama selepas itu, jalan mula pecah-pecah dan berlubang-lubang. Banyaklah penunggang motorsikal yang terpelosok ke dalam lubang, banyaklah kereta yang terpaksa tukar "drive shaft" yang bengkok  akibat termasuk ke dalam lubang. "Traffic jam" mula menjelma akibat kenderaan bergerak perlahan kerana menghormati lubang tersebut.

Memang permukaan jalan yang berlubang-lubang menjadi antara punca kesesakan jalanraya. Amat mengecewakan setelah tersangkut dalam kesesakan yang kadang-kadang sampai berjam-jam, rupa-rupanya punca kesesakan hanyalah sebuah lubang sebesar tayar basikal kanak-kanak umur 3 tahun. Biasanya lubang tersebut akan terus berada di situ untuk beberapa tempoh waktu tanpa diambil endah untuk ditampal oleh pihak bertanggungjawab. Pihak tertentu perlu memberi perhatian terhadap jalan berlubang. Jangan sampai Kuala Lumpur dipanggil Kuala Lubang.

Pihak bertanggungjawab, mungkin pihak Jabatan Kerja Raya, atau Majlis Tempatan mengambil langkah proaktif memantau dan mengenalpasti jalan-jalan yang berlubang untuk diambil tindakan segera. Pemantauan perlu dilakukan secara kerap dan berkala. Mungkin boleh ditubuhkan (jika belum ditubuhkan)  satu pasukan khusus memantau jalan berlubang. Sebaik maklumat diutarakan, tindakan sewajarnya seperti menampal dilakukan. Tetapkan satu tempoh waktu seperti 3 hari bekerja untuk perlaksanaan.

Kerjasama dari pihak luar juga boleh dipinta. Selain dari pihak awam, maklumat boleh dikumpul dari pihak Persatuan Penduduk, Persatuan Peniaga tempatan, atau mana-mana pihak yang berminat. Pengguna jalanraya perlu diberi satu akses mudah dalam menyalurkan maklumat. Tetapi, pokok pangkal, langkah proaktif perlu dari pasukan tersebut. Tidak ada erti jika pihak lain memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat, tetapi tindakan masih lambat atau lebih teruk lagi, langsung tidak diambil.